BALADA SI KUCING
Aku ditemani kawan-kawanku yang berlainan rupa dan jenis, di atas rak ini. Kami memerhatikan manusia lalu-lalang di dalam kedai hadiah ini. Eh, lupa pula! Aku sebuah, elok aku katakan aku seekor, sebab aku ada ekor, kucing, atau lebih tepat lagi, seekor ‘anak patung’ kucing. Rupaku direka mengikut rupa watak kucing dalam salah satu kartun Disney. Aku tak tahu kartun apa, tetapi aku tahu aku 100% mirip watak kucing itu.
Dalam kedai ini sahaja, aku ada ramai ‘kembar’. Apa yang membezakan aku dengan ‘kembar-kembar’ aku adalah saiz . Saiz itu juga yang mempengaruhi harga kami. Rata-rata pengunjung gemar melihat aku dan ‘kembar-kembar seiras’ aku. Mengapa? Senang, mereka kata kami comel. Kami pun menjangkakan yang kami berpotensi untuk dibeli, walau berapa pun harga kami. Jadi, harga aku, jangan terbeliak mata ya, RM79.90. Lagi RM 1.00 nak RM80.00.
Dek kerana hargaku mahal, maka tak ramai yang membeli aku. Pengunjung gemar membeli ‘kembar seiras’ aku yang kecil saiznya. Itupun tak ramai. Aku cemburu dengan beberapa patung lain, terutama sekali patung karekter Spongebob Squarepants. Apa kurangnya aku, dia lagi mahal dari aku? Apabila kedai ditutup pada waktu tengah malam, aku menangis sendirian mengenangkan nasibku yang tidak mendapat perhatian. Setiap malamlah aku menitiskan air mata. Nasib baik aku dibalut plastik, kalau tidak, comotlah aku. Sudahlah ‘bulu-bulu’ badanku putih. Hmm...tetapi, kekecewaan aku tidak berpanjangan.Kenapa? Aku ceritakan ya, duduk baik-baik.
Hari itu, seperti biasa, aku dipamerkan di rak itu. Ya, rak itulah, mana mungkin aku mahu berganjak ke mana-mana. Kemudian aku melihat empat orang anak muda masuk ke dalam kedai. Tiga orang gadis dan seorang jejaka. Salah seorang daripada mereka mulai perasan kewujudan ‘kembar-kembar seiras’ aku. Dia mengambil salah satu dari mereka sambil menggumam, “Ada yang besar tak?” Dia memandang ke atas, tempat aku diletakkan. Aku melihat senyuman keceriaan di wajahnya. Lalu dia mengambil...’kembar’ aku yang sama saiz dengan aku. Wajahnya berkerut, apabila dia sedar ‘kembar’ku tak dibalut plastik. Dia meletakkan kembali ‘kembar’ aku dan dia mengambil aku. Aku melihat dia senyum. Itupun sekejap, bila dia sedar yang plastik pembalutku koyak. Dia terus ke kaunter, bertanyakan kepada pemilik kedai. Aku nampak pemilik kedai itu menggeleng-gelengkan kepala. Kurang pasti pula apa yang mereka bualkan ya. Aku lihat gadis itu mengangguk-angguk, dan kembali mengambil aku. Dia menyemak hargaku, dan dia langsung tidak menunjukkan apa-apa respon. Adakah dia mahu membeli aku?
Gadis itu membawa aku ke kaunter, dan membayar harga aku. Hatiku melonjak gembira. Akhirnya ada juga orang yang ingin membeli aku. Plastikku dibuka dan tag yang sekian lama terlekat di telingaku, juga menunjukkan tanda hargaku, digunting. Aku dimasukkan ke dalam plastik hitam yang besar. Kurang pasti lagi ke mana destinasiku selepas ini.
Sekian lama aku di dalam plastik, aku dikeluarkan. Gadis itu, yang ku tahu namanya sebagai Maz, meletakkan aku di sisi patung karakter Jerry di atas katilnya. Senang hatiku mengenangkan aku tak perlu duduk di atas rak itu lagi. Menurut patung Jerry, aku kini berada di bilik C0*-**, Blok C, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan. Pengakhiran yang menggembirakan, bukan?
p/s: antara my fav short stories yg aku buat... ehh?? aku ada bgtau kan cta ni based on a true story...kan???~
awak org mane?
ReplyDeletesy org sarawak...ehehehe~
ReplyDelete